Friday, September 21, 2012

Dead Man Walking


Sejam lebih aku belek sana belek sini, bongkar sana bongkar sini, cari wallet, travelers cheques, dan ticket aku. Aku ke bilik air, tak ada, memang aku ingat aku tak bawak pouch tu ke situ. Aku selak sana selak sini, aku buka sana buka sini. Tak ada. Aku rasa poket belakang aku, aku keluarkan passport. Aku belek-belek passport, mana ada aku taruk semua benda tu kat helaian passport aku. Aku duduk sekejap cuba mengingatkan kalau-kalau aku memang taruk benda tu semua di tempat lain. Di mana lagi? Aku memang ingat aku ada hitung duit aku semalam,lepas tu aku jumlahkan check aku yang belum digunakan. Pouch tu kemudian aku taruk bawah bantal. Sahlah bilik aku dimasuki orang dan duit,kad,cek dan ticket aku dikebas orang. Tapi apa jadahnya kebas tiket tu? Dunia aku jadi gelap rasanya, aku langsung tak dapat berfikir, di kepala aku masa tu betul-betul kosong.

Aku seluk poket jeans aku, aku keluarkan semua benda yang ada, aku kira berapa duit yang ada. Dua puluh lebih. Dua puluh lebih aje. Itupun setelah dicampur coins. Anih bunyinya tapi mungkin disebabkan kepala aku betul-betul kosong jadi tak dapat memikir apa-apa, aku baring dan cuba tidur. Aku tidur sekejap, mungkin aku bermimpi. Jadi, aku mahu bangun dari mimpi buruk aku tu. Bila aku sedar, aku tahu yang aku sebenarnya bukannya bermimpi. Di waktu itulah baru aku dapat berfikir.Dunia aku sudah berakhir rupanya. Hidup aku sudah mati. Dan apa yang harus aku buat? Apa aku nak makan, di mana aku nak cari duit, macamana aku nak balik, di mana aku nak mintak tolong, di mana aku nak tidur. Dan apa aku nak buat? Apa harus aku buat? Aku kata, Ya Allah Tuhan, tolong aku, apa aku nak buat? Macamana ni? Kemudian aku fikir untuk berdoa yang lebih proper, sembahyang gitu. Tapi suara-suara setan mengalahkan aku. Nak doa apa, barang dah hilang, doalah sampai mati pun tak akan dapat punya (aku lupa setan punya exact words tapi lebih kurang begitulah bunyinya hehehhe).

Akhirnya aku buat keputusan nak lapurkan pada Manager hotel tu, aku turun ke bawah, hampir setengah jam aku terangkan pada dia, aku tanya macamana boleh jadi kecurian gitu. Dia buat faham tak faham jer, dia tak serius langsung. Kemudian kitaorang naik ke bilik aku , diaorang belek sana belek sini. Belek benda-benda yang aku dah belek berpuluh-puluh kali. Aku kata aku nak buat lapuran polis tapi Manager tu tak setuju, aku berkeras juga so dia talipun. Sesepuluh minit kemudian adalah 4 orang polis datang, tanya aku itu ini, diaorang buat notes apa yang aku ceritakan. Polis tu kata diaorang tak boleh buat apa-apa, kes kecurian memang gitu. Macamana pun diaorang suruh aku talipun Malaysian Consulate, talipun keluarga aku, batalkan semua cek pengembara dan kredit kad. Aku katalah yang ada pada aku masa tu cuma dua puluh lebih. Itu aje duit yang aku ada. Menggeleng kepala diaorang pasal tahu aku tak ada sedara mara dan tak kenal sesiapa. Dan aku baru tiba di Amerika. Berat mata memandang berat lagi yang dipandang. Diaorang suruh aku terus ke Consulate saja, diaorang nak hantarkan aku sebenarnya tapi aku kata biar aku fikir dulu. Apa-apa hal aku akan talipun polis tu, yang aku tengok sedih jugak bila diaorang nak keluar dari bilik aku. 

Aku buat keputusan untuk keluar jalan-jalan untuk cuba menenangkan fikiran aku yang waktu itu dah mula berkecamuk. Manager hotel tanya aku nak kemana aku kata yang aku nak keluar, aku tengok dia muka kesian jer. Aku jalan ajelah mengikut kaki aku, tanpa arah tujuan. Salji yang turun semalam tu masih belum cair itu yang buat jalan jadi licin,basah jer. Muram, semuram aku. Untung aku ada weekly pass untuk naik subway jadi aku boleh ke mana-mana. Aku ke masjid tempat Sembahyang Jumaat itu hari. Lama aku sembahyang, sembahyang sunat lagi. Aku berdoa, dan aku betul-betul berdoa pada Tuhan. Macam sewaktu aku berdoa masa di Mekah dulu, masa di depan Kaabah. Aku minta Tuhan tunjukkan aku jalan keluar. Aku minta Tuhan selamatkan aku. Aku lepak di masjid tu sampai lepas Isyak, sementara tunggu waktu sembahyang, aku lepak aje, bersandar ke dinding sambil memikirkan nasib aku. Lepas sembahyang, aku bersandar lagi. Termenung lagi. 

Di waktu itu aku tak fikir pun kenapa aku jadi begitu, aku tak fikir pun kenapa aku macam sengaja cari penyakit. Aku tak fikir pun yang itu mungkin signal Tuhan supaya aku...... supaya aku....... ntah, tak tahu aku. Supaya aku apa hah? Aku tak fikir pun yang itu mungkin balasan Tuhan atas dosa-dosa aku selama ini? Apa yang aku buat? Apa yang aku tak buat? Aku tak buat dosa-dosa besar yang harus dibalas dengan masalah segini. Aku tak pernah minum arak, aku tak berjudi, aku tak makan benda-benda haram. Aku tak pernah main perempuan, aku tak bunuh orang, dan aku mengku walaupun aku pernah curi underwear orang masa kat sekolah dulu, itu benda kecil aje. I was raised a good boy. Takkanlah sebesar gitu balasannya. Aku tak fikir semua itu. 

Tapikan aku pernah buat baik, aku selalu buat baik. Aku selalu kasi duit sama peminta sedekah, tiap kali aku ke surau, ke masjid aku pasti taruk duit dalam tabung sedekah. Dan aku tiap kali guna toll, aku kasi tips sama pemungut toll tu. Even klau harganya 2 ringgit, aku tetap kasi tips seringgit. Tiap kali, tak pernah miss. Sebab aku tahu berapa sangatlah gaji diaorang, sebab aku tahu punyalah bosan kerja mengutip toll. Dan aku nak diaorang happy, diaorang happy aku pun sama happy, mungkin mereka akan doakan supaya aku selamat dalam perjalanan. Aku tak fikir semua itu. Apa yang aku fikir masa tu bagaimana aku nak menghadapi hari esoknya. Hari lusanya. Di mana aku nak cari duit untuk makan dan segalanya?

Aku kena pergi ke Consulate lah gayanya. Itu aja harapan aku. Aku tak nak talipun keluarga aku, aku tak nak diaorang tahu.Pasti kelam kabut diaorang. Pasti meraung-raung mak aku, anak dia yang cukup menjadi sudah jadi begitu. Walaupun aku boleh buat reverse charge, walaupun aku boleh email abang-abang, kakak-kakak dan adik-adik aku. Even kawan-kawan, tak naklah aku, buat apa aku beritahu diaorang? Memanglah diaorang akan simpati dan kesian dengan aku, tapi setakat itu ajelah, lepas tu pasti diaorang akan cakap, itulah.....itulah ini, itulah itu.... Aku tahu punyalah.

Lepas Isyak aku tak terus balik ke hotel but instead aku ikut aje kaki membawa aku melewati jalan-jalan yang waktu itu dah jadi agak lengang. Orang pun tahu yang jalan aku tu jalan tak punya tujuan. Jalan orang yang tak punya harapan. Padan muka aku, aku kata dalam hati. Rasa kau, sedap-sedap hidup di Malaysia, datang sini. Ambik kau, nak sangat. Waktu itu aku tak rasa ***** mengutuk diri sendiri. Memang orang macam aku ni, diri sendiri aje yang patut kutuk, aku ni kan degil orangnya, jenis yang tak dengar nasihat. Sekarang rasa akibatnya. Sampai di hotel aku terus tidur, aku tak fikir pun apa yang aku nak buat esok harinya.